ANTARA yang sekolah diarah tutup sebelum ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ANTARA yang sekolah diarah tutup sebelum ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah, di sini, yang diarahkan tutup selama 14 hari bermula 11 September lalu, dijangka dibuka semula esok.

Tinjauan dari luar perkarangan sekolah terbabit pagi ini mendapati suasana lengang tanpa kehadiran murid yang dipercayai masih menunggu arahan lanjut daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, SK Jambatan Putih, SK Kukusan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jambatan Putih.

Difahamkan, sesi persekolahan akan dibuka semula esok (Selasa) dan arahan terkini kepada ibu bapa serta penjaga murid dijangka akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini media melaporkan arahan penutupan empat sekolah terbabit dikeluarkan atas nasihat Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai sebagai langkah pencegahan Covid-19 susulan penularan wabak itu di Penjara Tawau.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam kenyataannya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri supaya tidak menutup pasar dan sekolah walaupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tawau.

Beliau berkata sekolah juga tidak boleh ditutup dan ia perlu dibuka semula jika ada yang sudah ditutup.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang medianya semalam, melaporkan Sabah terus mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi iaitu 31 kes.

Ia membabitkan 22 kes dalam Kluster Benteng Lahad Datu, empat warga emas yang dikesan ketika saringan di klinik kesihatan, dua kes saringan di pusat kuarantin dan masing-masing satu kes saringan petugas kesihatan orang kena tahan (OKT) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat dan saringan dalam kalangan kes penyakit seperti influenza (ILI).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 9:40 AM