DATUK Law Choo Kiang. FOTO arkib NSTP
DATUK Law Choo Kiang. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Georgetown: Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2020 akan diadakan di Setia Spice Convention Centre pada 17 dan 18 Mac ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang berkata, istiadat itu hanya membabitkan penerima Darjah Bergelar dan jemputan yang terhad.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19, penerima Darjah Bergelar, tetamu jemputan serta urus setia yang terbabit diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum hadir ke istiadat berkenaan.

"Aturcara pada 17 dan 18 Mac akan bermula pada 8 pagi hingga 12.30 tengah hari dan tiada jamuan makan tengah hari disediakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Law yang juga Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkata, istiadat penganugerahan bagi pingat Darjah Johan Negeri (DJN) dan ke bawah tidak akan diadakan, namun penyerahan pingat dijadual dilaksanakan pada 10 hingga 12 Mac di Dewan Seri Pinang.

Menurutnya, penyerahan DJN dan Bintang Cemerlang Negeri (BCN) pada 10 Mac (8.30 pagi hingga 1 tengah hari) diikuti Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) (2 hingga 5 petang).

Manakala pada 11 Mac akan dijalankan penyerahan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Bakti Setia (PBS), dan penyerahan Pingat Jasa Masyarakat (PJM) pula pada 12 Mac (8.30 pagi hingga 5 petang).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 7:37 PM