BANDARAYA Georgetown.
BANDARAYA Georgetown.
BERNAMA

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk melanjutkan pengecualian Fi Hotel hingga 30 Jun 2021, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (Petace) Yeoh Soon Hin.

Beliau berkata, lanjutan tempoh selama enam bulan itu dibuat berikutan pengumuman fi hotel sebelum ini yang berkuat kuasa 1 Julai hingga 31 Disember depan. Katanya, keputusan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 11 November lalu, sebagai usaha menyokong proses pemulihan sektor pelancongan.

"Kerajaan negeri memahami kesukaran dihadapi ramai penggiat industri pelancongan pada masa ini dalam menghadapi pandemik Covid-19. Ini adalah satu usaha kerajaan negeri untuk menyokong proses pemulihan industri pelancongan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh berkata, kerajaan negeri berharap semua pihak dapat menyokong penggiat industri untuk menghadapi cabaran norma baharu dalam usaha mereka membangunkan semula sektor pelancongan Pulau Pinang.

Fi Hotel (dahulunya dikenali sebagai Fi Kerajaan Tempatan) dikenakan ke atas hotel empat dan lima bintang pada kadar RM3 sebilik untuk satu malam, manakala bagi hotel tiga bintang ke bawah termasuk asrama (dormitory), hotel bajet, hostel dan rumah tumpangan pula adalah sebanyak RM2 sebilik untuk satu malam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 1:48 PM