RAKAMAN video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki kurang siuman dilanggar sebuah kenderaan selepas dia menetak seorang lelaki di sebuah kedai makan di Taman Sri Tanjung, Semenyih, kelmarin.
RAKAMAN video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki kurang siuman dilanggar sebuah kenderaan selepas dia menetak seorang lelaki di sebuah kedai makan di Taman Sri Tanjung, Semenyih, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Seorang lelaki cedera di belakang badan selepas ditetak lelaki dipercayai kurang siuman di sebuah kedai makan di Taman Sri Tanjung, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku 3.30 petang ketika mangsa dan tiga rakannya sedang makan di kedai berkenaan sebelum dihampiri suspek.

Menurutnya, suspek berusia 63 tahun itu kemudian melibas parang ke arah belakang badan lelaki terbabit menyebabkan mangsa mengalami luka.

"Beberapa rakan mangsa terus mengejar suspek sebelum berjaya menahannya. Ketika tangkapan itu dilakukan, berlaku pergelutan yang menyebabkan suspek turut tercedera.

"Mangsa menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan dan membuat tangkapan terhadap suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak polis merampas dua parang panjang dan satu pisau daripada suspek sebelum suspek dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, dia memaklumkan tidak pasti mengenai punca suspek menyerangnya.

"Siasatan awal mendapati suspek pernah menerima rawatan psikiatrik di Hospital Ulu Kinta, Perak.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah. Suspek direman sehingga 10 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 52 saat menunjukkan seorang lelaki melibas parang terhadap seorang lelaki di kedai makan terbabit yang tular di media sosial sejak semalam.

Dalam video itu juga menunjukkan berlaku pergelutan antara suspek dengan beberapa individu lain yang cuba menahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 5:08 PM