PENDUDUK Rumah Pangsa Sri Tanjung USJ 16, Muhamad Zamri Mansor mengambil air dari lori tangki disediakan Air Selangor. FOTO Shahmi Imran.
PENDUDUK Rumah Pangsa Sri Tanjung USJ 16, Muhamad Zamri Mansor mengambil air dari lori tangki disediakan Air Selangor. FOTO Shahmi Imran.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 185 daripada 274 kawasan sudah menerima bekalan air sepenuhnya sehingga jam 2 petang, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elena Basri berkata, peratusan pemulihan adalah pada tahap 68 peratus.

Justeru, katanya, sebanyak 89 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan di wilayah yang terjejas.

"Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah Petaling (51 peratus); Hulu Langat (74 peratus); Kuala Langat (55 peratus) dan Sepang serta Putrajaya (80 peratus).

"Dalam pada itu, kami juga ingin memaklumkan ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi sudah mencatatkan bacaan 0 TON tiga kali berturut-turut bermula jam 8 pagi, hari ini.

"Jadi, pam air mentah di LRA berkenaan sudah mula beroperasi pada 9.45 pagi untuk kerja pembersihan paip air mentah dan tangki rawatan air," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, LRA Bukit Tampoi dijangka dapat membekalkan air kepada pengguna dalam tempoh lapan jam iaitu 8 malam ini.

Menurutnya, pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Pengguna di kawasan yang terjejas disaran merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 3:53 PM