GAMBAR hiasan. FOTO Shahmi Imran
GAMBAR hiasan. FOTO Shahmi Imran
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sehingga 4 petang tadi sejumlah 210 kawasan sudah menerima bekalan air sepenuhnya dari 274 kawasan terjejas gangguan bekalan air tidak berjadual di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elena Basri berkata, peratusan pemulihan adalah pada tahap 77 peratus.

Justeru, katanya, sebanyak 64 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan di wilayah yang terjejas.

"Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah Petaling (65 peratus), Hulu Langat (81 peratus), Kuala Langat (76 peratus) dan Sepang serta Putrajaya (84 peratus).

"Dalam pada itu, kami juga ingin memaklumkan bahawa ujian persampelan yang dijalankan di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi sudah mencatatkan bacaan 0 TON tiga kali berturut-turut bermula 8 pagi ini.

"Oleh itu, pam air mentah di LRA berkenaan sudah mula dioperasikan pada 9.45 pagi untuk kerja pembersihan paip air mentah dan tangki rawatan air," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, LRA Bukit Tampoi dijangka dapat membekalkan air kepada pengguna dalam tempoh lapan jam iaitu 8 malam ini.

Menurutnya, pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Pengguna di kawasan yang terjejas disaran merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 6:25 PM