GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Status pemulihan bekalan air di tujuh wilayah yang terjejas akibat henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) kini berada pada tahap 69 peratus.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, sehingga jam 6 pagi tadi, sejumlah 888 atau 69 peratus kawasan sudah menerima bekalan air sepenuhnya dari 1,279 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Justeru, sebanyak 391 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan.

"Kuala Selangor sudah hampir pulih sepenuhnya dengan 99 peratus; Hulu Selangor (87 peratus; Kuala Langat (80 peratus); Kuala Lumpur (75 peratus ); Petaling (60 peratus); Gombak (55 peratus) dan Klang/Shah Alam (51peratus)," katanya.

Menurut kenyataan itu, pengguna disarankan untuk membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

Jelasnya, Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang terjejas berjalan lancar.

"Bantuan bekalan alternatif di pili – pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan pengguna yang terjejas.

"Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Intagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com," katanya.

Terdahulu pada Rabu, empat LRA iaitu Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran bau dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 8:10 AM