SEBAHAGIAN penduduk di Kampung  Jalan Enam Kaki, Beranang mengambil air dari lori Air Selangor, susulan loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
SEBAHAGIAN penduduk di Kampung Jalan Enam Kaki, Beranang mengambil air dari lori Air Selangor, susulan loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejumlah 46 dari 274 kawasan sudah menerima bekalan air sepenuhnya dengan peratusan pemulihan pada tahap 17 peratus sehingga 6 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elena Basri berkata, baki 228 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

"Wilayah Kuala Langat mencatat pemulihan sebanyak 55 peratus manakala Petaling dengan 37 peratus, namun Hulu Langat dan Sepang/Putrajaya belum dapat dipulihkan.

JADUAL lokasi pulih. FOTO Ihsan FB Air Selangor.
JADUAL lokasi pulih. FOTO Ihsan FB Air Selangor.

"Pengguna dinasihat supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor sedang giat berusaha menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan yang terjejas.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Pengguna di kawasan yang terjejas disaran merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 10:11 AM