GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Gangguan bekalan air tidak berjadual di wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor sudah pulih sepenuhnya sehingga 6.30 petang hari ini.

Empat wilayah lagi mencapai tahap pemulihan lebih 80 peratus, iaitu Petaling (98.36 peratus), Klang/Shah Alam (85.31 peratus), Gombak (99.27 peratus) dan Kuala Lumpur (97.57 peratus).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, secara keseluruhan, sejumlah 1,253 kawasan dari 1,292 kawasan terbabit dengan dengan peratusan pemulihan pada tahap 96.98 peratus.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 39 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan di empat wilayah iaitu Klang/Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur.

"Semua kawasan Kumpulan 1 dalam pelan pemulihan pulih sepenuhnya manakala lapan kawasan yang berada dalam Kumpulan 2 pelan pemulihan pula masih belum mendapat bekalan air yang sepatutnya pada 12 tengah malam, 8 September (hari ini)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata, Air Selangor mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan ini.

"Kawasan yang belum pulih adalah UM (wilayah Petaling) dan Jalan Dutamas Raya (wilayah Kuala Lumpur).

"Bagi wilayah Klang/Shah Alam, kawasan belum pulih adalah seluruh Sungai Kapar Indah, seluruh Bandar Baru Bukit Raja, Taman Desawan, Taman Klang Jaya, Johan Setia dan Kampung Teluk Gong," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna agar supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

"Air Selangor menyarankan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain.

"Pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk maklumat bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 8:35 PM