GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Gangguan bekalan air tidak berjadual di wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor sudah pulih sepenuhnya sehingga tengahari tadi.

Sementara, empat lagi wilayah masing-masing mencapai tahap pemulihan lebih 80 peratus, Petaling (97.37 peratus), Klang/Shah Alam (80.79 peratus), Gombak (98.18 peratus) dan Kuala Lumpur (92.71 peratus).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, secara keseluruhan, sejumlah 1,227 kawasan dari 1,292 kawasan terbabit dengan dengan peratusan pemulihan pada tahap 94.97 peratus.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 65 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan di empat lagi wilayah iaitu Klang/Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur.

"Kampung Segambut Tengah, masih belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai di dalam kumpulan 1 yang sepatut pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam, 7 September lalu.

"Manakala, 13 kawasan yang berada dalam Kumpulan 2 juga masih belum mendapat bekalan air yang sepatutnya pada 12 tengah malam ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata, Air Selangor kini sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan semua kawasan ini.

"Kawasan yang belum pulih di di Kampung Segambut Tengah, Dutamas, Jalan Dutamas Raya, Mont Kiara, Segambut, Taman Desa Segambut dan Taman Segambut Jaya (wilayah Kuala Lumpur).

"Bagi wilayah Klang/Shah Alam, kawasan belum pulih adalah seluruh Sungai Kapar Indah, seluruh Bandar Baru Bukit Raja, Jalan Klang Banting, Taman Desawan, Taman Klang Jaya, Johan Setia dan Kampung Teluk Gong," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

"Air Selangor menyarankan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain.

"Pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk maklumat bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 7:26 PM