Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad menyerahkan sumbangan kurma dan air mineral kepada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad menyerahkan sumbangan kurma dan air mineral kepada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sempena Ramadan ini, Kumpulan Brahim's Dewina mengedarkan 179 karton kurma seberat lima kilogram (kg) serta 840 karton air mineral diedarkan kepada seluruh masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Syarikat itu berkata, program sedekah kurma kepada semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta sekitar Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya adalah tradisi Kumpulan Brahim's Dewina sejak 2020.

"Pada tahun ini, pihak Brahim's berjaya mengimport kurma Medjoul dari Ladang di Palestin.

"Biarpun menempuh pelbagai cabaran, akhirnya kurma dari bumi Palestin tiba di Malaysia. Kami jamin, kurma ini 100 peratus dari Palestin.

"Alhamdulillah, semoga rezeki ini dapat dikongsi bersama dengan semua yang berbuka puasa di masjid ataupun surau yang diedarkan sempena Ramadan ini," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook.

Sebagai simbolik, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim's, Datuk Seri Ibrahim Ahmad menyerahkan sumbangan kurma kepada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Turut hadir, Pengarah Kumpulan Brahim's Dewina Holdings Sdn Bhd, Nur Fatin Ibrahim serta ketua Jabatan Kumpulan Brahim's Dewina.

Pada masa sama, pengedaran 24 karton kurma dan 120 karton mineral turut dilakukan di kawasan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat.

Selain itu, 53 karton dan 168 air mineral juga diedarkan di surau sekitar kawasan Bangi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 3:24 PM