Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Tiga pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand ditutup sementara akibat ditenggelami banjir gelombang kedua susulan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 (PGA7) Superintendan Azhari Nusi berkata, pos kawalan itu membabitkan dua di sektor Rantau Panjang dan satu di sektor Jeram Perdah, Pasir Mas.

Katanya, ia membabitkan Pos Kawalan Ibrahim Pencen, Sharifah dan Mek Gombak, yang mana air melimpah separas 2.15 meter.

"Sekiranya keadaan ini berterusan , berkemungkinan banyak pos PGA di sekitar Sungai Golok ditutup sementara waktu untuk memastikan keselamatan pegawai dan anggota bertugas.

SHAFIEN (tengah) diiringi oleh Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi (kiri) melawat iga pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand ditenggelami banjir gelombang kedua susulan hujan lebat sejak dua hari lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN (tengah) diiringi oleh Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi (kiri) melawat iga pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand ditenggelami banjir gelombang kedua susulan hujan lebat sejak dua hari lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Semua pegawai dan anggota yang terjejas akibat banjir dipindahkan ke pusat pentadbiran sektor masing-masing.

"Sepanjang Jalan Kesban turut terjejas akibat limpahan air Sungai Golok. Bagaimanapun, penguatkuasaan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand masih lagi ketat," katanya ditemui di Pos Kawalan Pok Teh Kana di sini, hari ini.

Azhari berkata, PGA7 mengatur rondaan dengan kenderaan berskala besar untuk pemantauan dan pemerhatian sepanjang banjir bagi mengekang pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

"Kami komited menjalankan tanggungjawab dalam apa jua keadaan selain bersedia menghulurkan bantuan kepada penduduk setempat jika keadaan banjir semakin buruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 4:16 PM