Usaha SAR yang masuk hari ke dua, hari ini.
Usaha SAR yang masuk hari ke dua, hari ini.
Erika George

Tatau: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang dipercayai lemas ketika memancing di Muara Sungai Serupai diteruskan pada hari kedua, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, SAR yang diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu hari ini menggunakan teknik 'water surface searching'.

"Usaha SAR hari ini yang bermula 10.56 pagi mensasarkan kawasan sekitar bot dipercayai digunakan kedua-dua mangsa ditemui pada jarak 10. 8 batu nautika dari Tanjung Kidurong, pada 6.07 petang semalam," katanya.

Menurutnya, SAR hari ini turut mendapat bantuan JBPM dengan menggunakan bot Pasukan Polis Marin (PPM).

Mengulas mengenai usaha SAR hari ini, pasukan penyelamat mengalami sedikit kesukaran disebabkan keadaan laut yang agak bergelora.

Dalam kejadian pada petang Rabu, Kinminsna Kasim, 58, dan pekerjanya, Pendi Salim Husin, 38, warga Indonesia keluar memancing ke kawasan pelantar minyak berhampiran.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa tidak balik ke rumah menyebabkan ahli keluarganya mangsa membuat laporan di Balai Polis Tatau pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:09 PM