BOT dipandu mangsa yang ditemui terdampar di kawasan pantai berhampiran Kuala Sungai Serupai petang semalam. FOTO Erika George
BOT dipandu mangsa yang ditemui terdampar di kawasan pantai berhampiran Kuala Sungai Serupai petang semalam. FOTO Erika George
Erika George


Tatau: Lelaki yang keluar menangkap ikan di Kuala Sungai Serupai di sini, dilaporkan hilang tidak balik ke kediamannya di Kampung Hilir petang semalam.

Pemangku Ketua Balai Bomba Daerah Tatau Irwin Abidin mengesahkan mangsa yang dikenali sebagai Mohd Ainul Median, 23, dikatakan keluar untuk menangkap ikan bersama beberapa rakannya menggunakan bot berasingan.

"Bagaimanapun, mangsa tidak balik walaupun dua lagi rakannya tiba di jeti pada 4 petang," ujarnya.

Menurutnya, bimbang sesuatu yang buruk menimpa, ahli keluarga mangsa bersama penduduk kampung memulakan usaha pencarian sekitar kawasan Kuala Sungai Serupai sebelum menemui bot mangsa terdampar di tepi pantai.

Katanya, ketika ditemui didapati enjin sangkut botnya masih hidup.

"Ahli keluarga dan penduduk kampung berusaha untuk mencari mangsa, namun gagal ditemui.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau yang menerima maklumat kemudiannya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 1.06 pagi.

"Usaha SAR hari pertama membabitkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," ujarnya.

Menurutnya, usaha SAR pada hari ini mensasarkan kawasan pada lima batu nautika dari kawasan pantai iaitu sekitar Kuala Sungai Serupai sehingga Kuala Sungai Tatau.

Katanya, setakat 12 tengah hari ini belum terdapat sebarang petanda atau petunjuk baharu mengenai mangsa.

"Kita percaya mangsa terjatuh ke dalam sungai selepas botnya dipukul ombak.

"Difahamkan ketika mangsa keluar menangkap ikan, ombak sedang bergelora yang mana Jabatan Metereologi turut mengeluarkan ketinggian ombak mencecah sehingga lima meter yang mana amat berbahaya untuk bot atau sampan kecil dan sederhana besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 1:44 PM