DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg menghadiri Konvensyen Khas PBB zon Betong di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini. FOTO Bernama
DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg menghadiri Konvensyen Khas PBB zon Betong di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Betong: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meneruskan siri konvensyen khasnya, di sini, menguatkan lagi sangkaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 semakin hampir.

Perhimpunan kedua itu yang menyusuli konvensyen di Miri pada 5 September lalu dihadiri 654 perwakilan daripada 14 cawangan di zon Betong yang mendengar suntikan semangat daripada Presiden parti Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai persiapan menghadapi PRN ke-12.

Dalam analoginya, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak menyifatkan konvensyen berkenaan sebagai 'ulang kaji' sebelum menghadapi 'peperiksaan'.

"Selalunya bila ada exam (peperiksaan), anak murid mesti bersedia buat 'revision' (ulang kaji). Jadi kita hari ini (sedang) melakukan 'revision' dan saya yakin kita akan lulus dengan cemerlang," katanya semasa berucap di konvensyen itu.

Untuk rekod, PBB akan menghadapi PRN ke-12 dengan gabungan baharu - Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang turut disertai tiga lagi parti iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

PBB bertindak keluar daripada Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Untuk rekod, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-11 akan tamat pada Julai 2021.

Sementara itu, Abang Johari menggesa perwakilan, amnya rakyat Sarawak untuk tidak meletakkan nasib negeri itu di tangan pihak lain.

"Biarlah masa depan Sarawak ditentukan orang Sarawak sendiri," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Selain itu, beliau memberi bayangan ada "habuan" bakal menanti rakyat Sarawak yang akan diumumkan apabila GPS diberi mandat pada PRN ke-12.

"Ada yang lebih (baik) lagi daripada cukai lima peratus yang kita kutip daripada Petronas. Biarlah saya simpan dulu, kelak menang saya umumkan," katanya yang turut meluahkan keyakinan kerajaan yang dipimpinnya ketika ini mempunyai hala tuju yang jelas untuk memajukan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 3:56 PM