ABANG Johari Abang Openg. FOTO NSTP
ABANG Johari Abang Openg. FOTO NSTP
Oleh Mohd Roji Kawi


PETRA JAYA: Ketika spekulasi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) semakin rancak kedengaran, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, menafikan ia akan diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, belum ada keperluan untuk mengadakan PRN12 sebelum tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir selewat-lewatnya September tahun depan.

Meskipun mengakui Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersedia untuk menghadapi ujian sulung selepas penubuhannya pada 2018, Abang Johari berkata, beliau belum memikirkan untuk mengadakan PRN-12 pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan, seperti yang diramal ramai pemerhati politik.

“Tidak perlu (pilihan raya awal). Tunggulah sehingga tahun 2021,” katanya ketika ditemui di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

PRN-11 diadakan pada 7 Mei 2016 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) Sarawak ketika itu dipimpin Tan Sri Adenan Satem, memperoleh kemenangan besar meraih 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Pada pilihan raya itu empat komponen BN iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi semua 40 kerusi yang diperuntukkan, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang 11, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menang tujuh dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menang tiga manakala 11 lagi dimenangi calon langsung BN.

Bagaimanapun pada 12 Jun 2018, empat parti Sarawak bertindak keluar daripada komponen BN dan membentuk GPS.

PRN-12 dijangka menjadi tumpuan bukan sahaja akan menguji kemampuan Abang Johari selepas tiga tahun menerajui kerajaan negeri, tetapi juga sebagai medan ujian buat empat parti yang membentuk GPS selepas mereka keluar dari komponen BN.

Abang Johari mengambil alih pimpinan kerajaan negeri, dua hari selepas kematian Adenan pada 11 Januari 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 3:21 PM