Rakan mangsa memberi bantuan awal selepas mangsa tidak sedarkan diri sejurus terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan tiang lampu. (Gambar kecil) Woolbert. Foto Norsyazwani Nasri
Rakan mangsa memberi bantuan awal selepas mangsa tidak sedarkan diri sejurus terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan tiang lampu. (Gambar kecil) Woolbert. Foto Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


KERJA pemasangan tiang lampu bertukar tragedi selepas seorang pekerja kontrak penyelenggaraan maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Taman Indah, Sibu, semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, Woolbert Jadam Enjup, 37, meninggal dunia kerana terkena renjatan arus voltan berkuasa tinggi ketika melakukan kerja di lokasi.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, sebaik terkena renjatan elektrik itu mangsa terus tidak sedarkan diri.

“Mangsa disahkan maut di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Sibu dan pihak polis yang bertugas di Pondok Polis Hospital Sibu dimaklumkan oleh pegawai perubatan mengenai kematian mangsa berkaitan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, proses bedah siasat mayat mangsa akan dijalankan pada esok.

“Setakat ini, kita mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 2:47 PM