Polis bersama anggota KKM dan MBSP mengadakan pemeriksaan ke atas enam pusat hiburan sekitar Butterworth. FOTO IHSAN POLIS
Polis bersama anggota KKM dan MBSP mengadakan pemeriksaan ke atas enam pusat hiburan sekitar Butterworth. FOTO IHSAN POLIS
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Dua pusat hiburan diarah tutup seminggu, manakala lima pemilik lain dikompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam pemeriksaan, di sini, semalam.

Dalam operasi bersepadu bermula 7.30 malam, polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memeriksa enam premis hiburan, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua daripada pusat hiburan itu didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak mengambil suhu badan pelanggan.

Katanya, selain itu, pekerja premis terbabit juga tidak memakai pelitup muka dan tidak memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan dua pusat hiburan itu diarah tutup selama seminggu.

"Polis turut mengeluarkan lima kompaun terhadap pemilik premis atas kesalahan dilakukan mereka.

"Dalam operasi sama, MBSP mengeluarkan kompaun atas kesalahan tiada lesen perniagaan, mempamerkan iklan tanpa lesen, menumpahkan cecair di longkang, tiada suntikan bagi pekerja dan tiada kebenaran membuka pusat hiburan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya akan mengadakan operasi dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pemilik premis dan orang ramai patuh pada arahan kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Situasi Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya bahkan kes semakin meningkat dan polis memohon kerjasama dan tanggungjawab daripada semua supaya patuh arahan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 4:19 PM