Wilfred bertemu ibu bapanya di Kampung Lokos. FOTO ihsan UPKO
Wilfred bertemu ibu bapanya di Kampung Lokos. FOTO ihsan UPKO
Recqueal Raimi


Tuaran: "Syukur, kedua ibu bapa saya memberi restu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu," kata Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata demikian melalui status yang dimuat naik di Facebook, 9.21 pagi, hari ini.

Katanya, sebaik selesai menjalani proses penamaan calon PRN di Dewan Masyarakat Kiulu semalam, beliau segera pulang ke kampung halamannya di Kampung Lokos, Kiulu pada petang.

"Sebagai anak, menjadi kewajipan untuk memohon restu serta doa daripada ibu bapa. Lebih-lebih lagi apabila bertanding merebut kerusi untuk menjalankan tanggungjawab yang besar kepada rakyat

"Ini merupakan kali pertama saya bertanding di peringkat DUN dan sebelum ini hanya bertanding di peringkat Parlimen. Jadi, wajib bagi saya mendapatkan restu daripada orang tua saya sendiri seperti Pilihan Raya Utama (PRU) sebelum ini," katanya dihubungi.

Menurutnya, kedua ibu bapanya dalam keadaan sihat dan gembira mendapati beliau bertanding di DUN kiulu.

"Ibu bapa sentiasa menyokong perjalanan saya dan tidak lupa memberi nasihat untuk menjaga kesihatan serta mendapatkan rehat yang cukup," ujarnya.

Madius berdepan saingan penyandang Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Kiulu dari Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai serta empat calon lain mewakili Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan dua calon bebas.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 11:35 AM