Parti Bersatu Sabah N. 15 Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Parti Bersatu Sabah N. 15 Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Recqueal Raimi


Tuaran: "Saya tetap menganggapnya sebagai sahabat dan bersedia menerimanya sekiranya dia ingin 'sehaluan' dengan kami kembali".

Demikian kata penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang berharap Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau kembali memimpin bersamanya selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018.

Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) dilihat menahan sebak sebelum mengeluarkan air mata ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Piombolutan l, Markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Malangang, hari ini.

Joniston mengulas lanjut, harapan tinggi untuk kembali memimpin bersama Madius itu bertujuan mengembalikan kesepakatan sebagai rakan pasukan dalam membantu rakyat khususnya penduduk tempatan.

"Ya.. menyedihkan. selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 lalu, dia meninggalkan kami memilih bekerjasama dengan pimpinan Warisan namun dia tetap sahabat saya kerana kami pernah berjuang bersama".

"Saya harap suatu hari nanti kami boleh bersatu kembali memimpin di haluan yang sama," katanya dalam program yang turut dihadiri Penasihat Perdana Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, hari ini.

Sementara itu, Tan Sri Joseph Pairin yang juga pengasas PBS menegaskan parti PBS tidak akan menarik diri daripada 22 kerusi DUN yang ditandinginya.

Beliau bekata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainuddin, yang berharap dapat menyumbangkan seberapa banyak kerusi pada 26 September ini bagi membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mentadbir negeri apabila 17 daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri Barisan Nasional (BN), PN dan PBS membabitkan persaingan.

"Tiada kemungkinan untuk keluar daripada pertandingan dan ia sudah diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan menetapkan simbol parti kita.

"Kalau kita tidak mahu bertanding, sebelum pencalonan lagi kita sudah pun lakukannya (dengan tidak menghantar calon)," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 5:10 PM