PREMIS disyaki punca pencemaran Sungai Gong, Rawang. FOTO Arkib NSTP
PREMIS disyaki punca pencemaran Sungai Gong, Rawang. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menafikan pihaknya melakukan serbuan di sebuah premis di Rawang, Selangor yang disyaki melepaskan pelarut ke Sungai Gong sehingga menyebabkan pencemaran.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kehadiran pihak polis di lokasi berkenaan hari ini bertujuan melakukan simulasi pengesanan aliran air.

"Maklumat yang memberitahu bahawa pihak polis membuat serbuan di lokasi terbabit adalah salah. Sebenarnya ia simulasi pengesanan aliran air yang dilakukan pasukan siasatan (polis) dengan bantuan pihak bomba.

"Ia dilakukan menggunakan air berwarna merah untuk melihat aliran air dari lokasi disyaki di dalam premis bengkel jentera menuju ke Sungai Gong," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 28 saat menunjukkan kehadiran pihak polis di lokasi berkenaan tular di media sosial, hari ini, yang dikaitkan dengan serbuan terhadap premis terbabit.

Difahamkan pihak polis tiba di lokasi itu kira-kira jam 10 pagi untuk melakukan pemeriksaan sebelum beredar dari lokasi berkenaan kira-kira satu jam kemudian.

Sebelum ini, polis menahan enam individu berhubung kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong.

Susulan pencemaran minyak daripada kilang itu pada 3 September lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 5:54 PM