Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Polis menemui 40 tong bersamaan 40,000 liter bahan buangan berjadual di dalam sebuah premis di Jalan Velox 2, di sini, yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dipercayai sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil pemeriksaan di dalam stor berkenaan, mereka mendapati terdapat 40 tong mengandungi bahan buangan berjadual dengan setiap tong mempunyai 1,000 liter.

"Kami mendapati seorang wanita tempatan berusia 40 tahun bersama pasangannya menyewa premis ini dipercayai untuk meletakkan barang buangan berjadual terbabit sejak dua minggu lalu dengan sewa RM3,800 sebulan.

"Hasil siasatan awal mendapati ada pembuangan bahan buangan dilakukan melalui lubang kumbahan di dalam premis berkenaan yang mengalir ke Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox yang terletak kira-kira 300 meter dari premis berkenaan.

"Berdasarkan penemuan itu, kami tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj dalam kejadian ini dan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan sedang dijalankan ," katanya ketika ditemui di premis berkenaan di Jalan Velox 2, sini, hari ini.

Turut hadir, kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS), IWK dan beberapa agensi lain yang melakukan siasatan di lokasi terbabit selepas premis itu ditutup, hari ini.

BOMBA mengeluarkan lelaki dipercayai pesakit mental yang terjun ke dalam tangki air jenis 'stainless steel' di rumah keluarganya. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA mengeluarkan lelaki dipercayai pesakit mental yang terjun ke dalam tangki air jenis 'stainless steel' di rumah keluarganya. FOTO Ihsan Bomba

Arifai berkata, pihaknya sedang menunggu laporan bagi mengenal pasti jenis bahan buangan yang mengakibatkan pencemaran di Sungai Selangor.

"Kami menerima laporan daripada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) pada 2.30 petang, semalam. Hasil laporan itu, kami melakukan siasatan terperinci di kawasan ini dan menemui premis berkenaan.

"Susulan itu, kami melakukan tangkapan terhadap empat individu termasuk seorang wanita pemilik sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pekerja lelaki warga Bangladesh.

"Pada masa sama, kami juga sedang mengesan saki baki individu yang dipercayai terbabit dalam kes ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersama agensi lain akan mengambil tindakan sekiranya mendapati ada pelanggaran peraturan dilakukan mana-mana premis di daerah ini.

"Pemantauan sentiasa dilakukan dalam usaha menyelesaikan isu ini. Dalam perkara ini bukan hanya orang awam sahaja terkesan, namun semua pihak terkesan.

"Tindakan undang-undang akan diambil pihak termasuk kes terdahulu yang kesemuanya dituduh di mahkamah hasil siasatan bersama dilakukan dengan agensi lain seperti Air Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

"Ia menunjukkan tiada toleransi diberikan terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti berkenaan (pencemaran)," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan empat individu termasuk seorang wanita ditahan malam tadi hingga awal pagi tadi selepas dipercayai terbabit dengan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat dipetik berkata, empat suspek berkenaan ditahan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya, Selangor.

Siasatan awal mendapati wanita berkenaan adalah penama yang didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyewa premis di Nombor 32 Jalan Velox 2, Rawang.

Sementara, seorang lelaki tempatan dan pekerjanya iaitu seorang lelaki warga Bangladesh berkenaan menumpang stok bahan bahan kimia di premis sewaan terbabit.

Berita berkaitan:

  • Fobia dengan gangguan bekalan air' [METROTV]
  • Cemarkan Sungai Selangor, empat individu ditahan
  • Pencemaran sungai: RM5,000 ganjaran kepada pemberi maklumat
  • Kerajaan Selangor mohon Pusat bantu isu pencemaran sungai
  • Polis buka kertas siasatan pencemaran bau di Sungai Selangor
  • Tindakan sabotaj mungkin punca pencemaran air [METROTV]
  • Empat LRA henti tugas akibat pencemaran bau
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 1:39 PM