Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Selayang: Lapan individu termasuk dua pengarah syarikat di Rawang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung pencemaran air Sungai Gong yang menyebabkan 1,292 kawasan terjejas, Isnin lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan, hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmad berkata, reman dibenar bermula hari ini sehingga 28 Oktober ini.

"Suspek diwakili oleh dua peguam. Siasatan lanjut akan dijalankan," katanya.

Terdahulu, dua pengarah syarikat yang juga anak beranak dibawa bersama enam pekerja terdiri daripada dua lelaki tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar ke Mahkamah Selayang untuk permohonan reman.

Sebelum ini, Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 tengah malam 19 Oktober lalu.

Berikutan itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Pada 2 pagi, beberapa LRA lain terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula daripada syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Bekalan air kesemua 1,292 kawasan di tujuh wilayah yang terjejas sudah pulih sepenuhya, 6 pagi ini.

LAPAN suspek dibawa ke mahkamah susulan kes pencemaran Sungai Gong. FOTO Aswadi Alias
LAPAN suspek dibawa ke mahkamah susulan kes pencemaran Sungai Gong. FOTO Aswadi Alias

Berita berkaitan:

  • Pencemaran Sungai Gong, dua beranak ditahan
  • Guna dron pantau sungai
  • Kilang disyaki punca pencemaran bau
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 11:01 AM