GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid dan Hafiz Ithnin


Petaling Jaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 465 kes cubaan bunuh diri yang dilaporkan dan menerima rawatan di hospitalnya sejak Januari hingga Jun tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah itu berkurangan sebanyak 210 kes berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu sebanyak 675 kes.

Beliau berkata, KKM sudah melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri termasuk kempen Let's TALK Minda Sihat bermula sejak 2019 dan adalah perkongsian pintar bersama agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ini katanya, sebagai usaha mengatasi stigma dan menggalakkan masyarakat mendapatkan bantuan awal bagi masalah kesihatan mental dialami.

DATUK Seri Dr Adham Baba (kiri)  melancarkan The Orchid Clubhouse merupakan pusat aktiviti dan pusat Pengurusan Krisis MIASA. Turut serta Presiden MIASA, Anita Abu Bakar. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Seri Dr Adham Baba (kiri) melancarkan The Orchid Clubhouse merupakan pusat aktiviti dan pusat Pengurusan Krisis MIASA. Turut serta Presiden MIASA, Anita Abu Bakar. FOTO Rohanis Shukri

"Perkataan "TALK" di dalam tajuk kempen ini adalah singkatan kepada: T - Tell someone you trust about your problems (Berkongsi masalah yang dihadapi dengan orang yang dipercayai). A - Ask for help (Meminta pertolongan). L - Listen without judgement (Mendengar tanpa menghukum atau menghakimi). K - Know where to seek help (Mengetahui di mana untuk mendapatkan bantuan).

"Bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada 10 September setiap tahun, kempen Let's TALK Minda Sihat kali ini bertemakan Kesihatan Mental Milik Semua, Bersama Cegah Bunuh Diri.

"Tema ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan penjagaan kesihatan mental, di samping mengajak masyarakat berganding bahu ke arah pencegahan tingkah laku bunuh diri dan mengurangkan stigma terhadap masalah kesihatan mental. Tema kali ini bertepatan dengan situasi pandemik Covid-19 yang mempunyai impak yang signifikan terhadap kesihatan mental," katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan media diberikan selepas merasmikan pusat aktiviti dan pengurusan krisis Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) iaitu 'The Orchid Clubhouse' di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, KKM menyokong usaha ke arah dekriminalisasi cubaan bunuh diri yang buat masa ini sedang dikaji oleh Jabatan Peguam Negara.

"Kerajaan menyedari bahawa isu tingkah laku bunuh diri adalah semakin membimbangkan dan perlu ditangani. Satu daripada usaha adalah inisiatif Jabatan Peguam Negara yang sedang mengkaji undang-undang berkenaan kesalahan persubahatan dan cubaan bunuh diri di Malaysia.

"Fokus tertumpu kepada Seksyen 305, 306 dan 309 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan bunuh diri.

"Dengan usaha ke arah dekriminalisasi cubaan bunuh diri ini, adalah diharapkan pesakit yang mempunyai masalah kemurungan atau pernah mencuba untuk membunuh diri akan lebih terbuka untuk tampil mendapatkan rawatan dan menerima pemulihan tanpa stigma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 1:44 PM