GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hampir setengah juta penduduk di negara ini mengalami kemurungan berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada 2019.

Statistik merangkumi 2.3 peratus rakyat negara ini berusia 16 tahun ke atas mengalami kesihatan mental.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kajian NHMS pada 2017 juga mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 dan 17 tahun menunjukkan peningkatan trend bagi prevalen idea bunuh diri iaitu 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.

"Melihat kepada senario ini, wajarlah kesihatan mental diberi keutamaan dalam agenda kesihatan negara. Hari Kesihatan Mental Sedunia, inisiatif Kesatuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) disambut setiap 10 Oktober dengan tema tahun ini 'Let's TALK Minda Sihat: Kesihatan Mental Milik Semua, Bersama Cegah Bunuh Diri'.

"Secara global, tahun ini amat mencabar apabila seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 mengakibatkan krisis kesihatan yang turut memberi kesan kepada kesihatan mental individu," katanya pada kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata, penularan Covid-19 memberi kesan besar kepada masyarakat dunia termasuk Malaysia.

"Rata-rata masyarakat terkesan emosi seperti kebimbangan, ketakutan, pengasingan (isolasi), ketidakpastian serta tekanan perasaan akibat perubahan dalam norma kehidupan.

"Ini termasuk mereka yang bekerja menghadapi risiko akibat kehilangan pekerjaan, kehilangan mata pencarian dan kekangan kewangan.

"Petugas barisan hadapan juga tidak terlepas daripada mengalami masalah emosi dan tekanan akibat daripada terpaksa menanggung tugas, diberi tugas yang berganda atau mengalami 'burn-out'," katanya.

Dr Adham Baba. FOTO arkib NSTP
Dr Adham Baba. FOTO arkib NSTP

Menurut beliau, aspirasi tema tahun ini menekankan mengenai kepentingan kesihatan mental bagi semua individu dengan tidak mengira umur, jantina, bangsa dan agama serta keperluan usaha menangani stigma dan mencegah kejadian bunuh diri yang memberi impak permasalahan kesihatan mental.

"Antara inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengatasi masalah kesihatan mental warga kerja dan masyarakat terutama sekali ketika pandemik adalah menyediakan perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) bagi kumpulan sasar yang memerlukan.

"Sepanjang berlaku pandemik, KKM dengan kerjasama Mercy Malaysia mewujudkan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial berpusat di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) bagi memberikan perkhidmatan sokongan psikososial dan kaunseling kepada komuniti dan masyarakat termasuk kakitangan dan petugas kesihatan terbabit dalam menangani pandemik ini," katanya.

Menurut beliau, orang ramai boleh mendapatkan nasihat kesihatan mental diberikan melalui empat institusi mental, 1,001 klinik kesihatan, 66 hospital KKM dan 28 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di seluruh negara.

"KKM juga memperluaskan perkhidmatan kaunseling di peringkat kesihatan primer dan menempatkan 200 pegawai psikologi kaunseling baharu di seluruh negara bagi memberi perkhidmatan kesihatan mental dan kaunseling kepada individu memerlukan," katanya.

Dr Adham sebagai mewakili KKM turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah sebagai Penaung Antarabangsa Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 oleh WFMH dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 3:43 PM