Dr Adham Baba.
Dr Adham Baba.
Amir Abd Hamid dan Hafiz Ithnin


Petaling Jaya: Sebanyak 11,791 panggilan diterima talian sokongan psikososial sejak 25 Mac hingga akhir Ogos lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, 50 peratus pemanggil mengutarakan isu yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti tekanan, risau serta putus harapan.

Katanya, antara punca pemanggil menggunakan talian ini adalah faktor sosial seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, masalah hubungan interpersonal, isolasi dan pengurangan akses kepada perkhidmatan bantuan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu pemanggil ingin mendapatkan maklumat berkaitan Covid-19 sebanyak 17 peratus, isu rumah tangga termasuk penderaan dan keganasan sebanyak 8 peratus; masalah kewangan dan isu bantuan kewangan serta sumbangan sebanyak 7.4 peratus dan masalah psikiatri sebanyak 3.4 peratus.

"Pandemik Covid-19 turut mendatangkan impak besar kepada segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang memang mempunyai masalah kesihatan mental, dan penyakit mental.

"Setiap lapisan masyarakat terkesan dengan situasi semasa terutamanya dalam tempoh PKP yang bermula pada 18 Mac lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilanjutkan hingga 31 Disember 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pusat aktiviti dan pengurusan krisis Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) iaitu 'The Orchid Clubhouse' sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2020, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MIASA Anita Abu Bakar, Penaung Diraja MIASA Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Presiden Persatuan Isteri-Isteri dan Kakitangan Wanita Petronas (Petronita) Jemilia Md Jelas dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Adham berkata, talian itu diwujudkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Mercy Malaysia, pada 25 Mac ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Selain itu, beberapa agensi kerajaan lain turut mewujudkan talian bantuan seperti KSK Care Centre oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Talian Kasih.

Katanya, penubuhan pusat aktiviti dan pengurusan krisis yang diwujudkan oleh MIASA adalah satu inisiatif yang sangat tepat pada waktunya.

"Difahamkan The Orchid Clubhouse adalah rumah kelab pertama di Malaysia yang melaksanakan konsep 'peer support' untuk memperkasakan 'peers' bagi menjalankan aktiviti termasuklah program sokongan pekerjaan, bengkel, latihan, kelas beriadah, memasak, membuat kek, menjahit, kelas agama dan pelbagai lagi.

"Pusat ini juga bertindak sebagai pusat krisis di mana sukarelawan bersama-sama membantu 'peers' yang memerlukan bantuan dan juga penjaga.

"Ini sekali gus menjadikan ia sebagai 'zon selamat' kepada mereka yang memerlukan dan pusat pembelajaran untuk orang awam supaya kita dapat menormalisasikan penyakit mental dan mengurangkan stigma," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 1:13 PM