PUTRAJAYA 11 MEI 2021. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang media selepas majlis Penyerahan Vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA 11 MEI 2021. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang media selepas majlis Penyerahan Vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021 adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, antara punca dikenalpasti adalah hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma dan kurang akses kepada perkhidmatan bantuan.

"Selain itu, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati dalam tempoh Januari hingga Disember 2020, sebanyak 1,080 kes cubaan bunuh diri dilaporkan menerima rawatan di hospital KKM.

"Angka dan punca diperoleh menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan secara kerjasama antara KKM- Mercy Malaysia dan talian helpline agensi kerajaan lain seperti Talian Kasih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Talian KSK-Care (Keluarga, Sosial dan Komuniti) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bermula 25 Mac tahun lalu sehingga 20 Mei lalu.

"Situasi krisis semasa iaitu pandemik Covid-19 mendatangkan impak besar kepada segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dan penyakit mental sedia ada," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, 2020 dan 2021 adalah tahun sangat mencabar dan tidak dapat dinafikan rakyat terkesan secara psikologi dan emosi akibat daripada pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sejak Januari tahun lalu, KKM mengaktifkan pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di peringkat negeri dan daerah bagi membantu memberi sokongan emosi kepada individu terkesan seperti pesakit Covid-19, individu menjalani kuarantin, petugas barisan hadapan, keluarga kehilangan ahli keluarga akibat jangkitan Covid-19 dan kumpulan rentan dalam kalangan masyarakat umum.

"Pasukan MHPSS ini terdiri daripada pakar perubatan kesihatan awam, pakar perubatan keluarga, pakar psikiatri, pegawai psikologi (kaunseling dan klinikal), paramedik, pegawai sosial perubatan dan pegawai pemulihan carakerja serta individu terlatih daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"KKM melaksanakan aktiviti sokongan psikososial di lapangan termasuk di stesen kuarantin dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Aktiviti dijalankan adalah saringan kesihatan mental, psiko-pendidikan melalui infografik disebarkan secara digital, Bantuan Awal Psikologi (Psychological First Aid / PFA), kaunseling, rawatan dan konsultasi serta rujukan kepada pakar bagi kes memerlukan.

"Selain itu, 'pre-deployment briefing' turut diberikan kepada petugas barisan hadapan sebagai persediaan mental sebelum mereka dimobilisasikan ke lapangan," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan mental sedia ada di empat institusi mental, 62 hospital KKM, 1,161 klinik kesihatan dan 28 Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI) tetap diteruskan dalam keadaan pandemik ini dengan norma baharu.

Menurutnya, KKM mengambil inisiatif memperluaskan perkhidmatan kaunseling dengan menempatkan tambahan seramai 200 pegawai psikologi (kaunseling) kontrak untuk memberikan perkhidmatan kesihatan mental di daerah dan klinik kesihatan.

"KKM akan terus melaksanakan beberapa inisiatif untuk menangani permasalahan mental yang kian meningkat antaranya mempergiatkan advokasi Kempen Let's TALK Minda Sihat dan memastikan pelaksanaan aktiviti Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Antara pelan strategik berkenaan adalah meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan penyalahgunaan substans serta alkohol melalui sistem digital dan teknologi terkini secara kolaborasi pintar bersama agensi kerajaan lain dan NGO," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 5:36 PM