DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di Malaysia setakat Julai lalu iaitu peningkatan 143 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah itu meningkat 1.4 kali ganda berbanding tempoh sama iaitu 262 kes sahaja pada Januari hingga Julai tahun lalu.

"Peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia pada 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada 2019," katanya dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia hari ini.

Katanya, tema tahun ini iaitu 'Bertindak Segera, Harapan Terbina' bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.

"Selaras dengan konsep 'Keluarga Malaysia,' peranan masyarakat secara bersama bagi mengenal pasti simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang yang disayangi terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum bunuh diri antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.

"Pada 2019, satu dalam 100 kematian (1.3 peratus) adalah disebabkan bunuh diri.

"Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan seramai 135 ahli keluarga atau rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi," katanya.

Katanya, situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat Malaysia tidak terkecuali.

"Faktor sosial menyebabkan stres yang terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

"Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.

"Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri, rancangan bunuh diri, cubaan bunuh diri dan kematian akibat tindakan bunuh diri," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM mengambil beberapa inisiatif bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri yang sudah dilaksanakan antaranya pengukuhan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan KKM dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan akses terhadap liputan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi membantu individu yang memerlukan sokongan semasa pandemik Covid-19.

"Selain itu, pertambahan pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah dan klinik kesihatan bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan, serta penyalahgunaan substans.

"Malah, sokongan terhadap usaha dekriminalisasi cubaan bunuh diri di mana usaha bagi pindaan atau pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.

"Pelaksanaan dekriminalisasi cubaan bunuh diri akan menjadi anjakan dalam usaha pencegahan bunuh diri di Malaysia, ini akan menggalakkan mereka yang terkesan untuk tampil dan mendapatkan bantuan seawal mungkin," katanya.

Katanya, advokasi Kempen Let's TALK Minda Sihat kepada kumpulan sasar menerusi dan masyarakat secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu termasuk membabitkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

"Selain itu, latihan secara berterusan kepada 'first-line responders' seperti anggota kesihatan, anggota polis, dan anggota bomba bagi meningkatkan kemahiran pengendalian tingkah laku bunuh diri.

"Kita juga mempergiatkan sesi libat urus (engagement) dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam usaha 'whole-of-government' dan 'whole-of- society' untuk menangani isu tingkah laku bunuh diri," katanya.

Beliau turut meminta seluruh masyarakat memainkan peranan dalam mencegah tingkah laku bunuh diri dengan mengambil tahu dan bertanya khabar ahli keluarga dan orang sekeliling terutamanya yang terkesan akibat situasi pandemik Covid-19 dan berikan sokongan serta dorongan kepada mereka untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.

"Selain itu, elakkan penularan sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri ke media sosial dan membuang stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 12:57 PM