GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Ujian saringan Covid-19 berkala perlu dilakukan dalam kalangan tahanan bagi memastikan tiada penularan baru sehingga mewujudkan kluster baharu yang kini sudah mencecah tiga angka.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi berkata, langkah segera itu perlu dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya penularan dapat dikawal secepat mungkin.

Menurutnya, kini, Covid-19 semakin sukar dikesan kerana ia tidak menunjukkan sebarang simptom seperti yang berlaku ketika gelombang pertama sekitar Mac lalu.

Malah, virus berkenaan kini lebih mudah bermutasi dalam kalangan masyarakat dan tidak menunjukkan simptom berkaitan sekali gus menyukarkan ia dikesan.

"Ujian saringan berkala ini perlu dilakukan secepat mungkin walaupun memerlukan kos yang tinggi.

"Sesetengah kes Covid-19 tidak boleh dikesan pada ujian saringan pertama malah ada di antara mereka sah dijangkiti selepas menjalankan ujian saringan lebih daripada satu kali," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dr Azmawati berkata, jangkitan tempatan lebih mudah dikawal kerana tidak bersifat 'super spreader' seperti virus dibawa dari negara luar yang berlaku di Lahad Datu dan Tawau, Sabah dan Kedah menerusi Kluster Sivagangga.

Katanya, petugas barisan hadapan di lokasi berisiko seperti pusat tahanan warga asing juga digesa meningkatkan perlindungan dan kebersihan diri supaya tidak membawa bersama virus itu ke dalam komuniti setempat.

"Mereka boleh memakai peralatan perlindungan diri (PPE), pelitup muka selain lebih kerap mencuci tangan dengan sabun supaya kebersihan berada pada tahap terbaik.

"Orang ramai khususnya di kawasan penularan juga diminta tidak leka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar virus ini tidak menular dalam kalangan komuniti setempat," katanya.

Kluster Benteng di Lahad Datu dan Tawau di Sabah dikenal pasti pada 1 September lalu bermula daripada dua pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada 24 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, mereka disaring dan didapati positif Covid-19 pada 31 Ogos lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dan aktiviti pengesanan kes secara aktif serta saringan kontak rapat dijalankan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 3:20 PM