GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah hari ini kembali merekodkan kes baharu Covid-19 tiga angka iaitu 172 kes, meningkat 90 kes berbanding 82 kes yang direkodkan semalam.

Hari ini juga Sabah merekodkan bilangan kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan sebanyak enam kematian dilaporkan, masing-masing empat di Tawau dan dua di Lahad Datu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, daerah Kota Kinabalu kembali mencatat kes baharu tertinggi berbanding daerah lain dengan 82 kes dilaporkan.

Katanya, daerah Tawau juga masih mencatat kes baharu yang tinggi dengan sebanyak 42 kes, diikuti Lahad Datu (15 kes) dan masing-masing enam kes di Sandakan dan Putatan.

Dalam perkongsian di akaun Twitter beliau hari ini, Masidi menjelaskan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 di ibu negeri berpunca daripada kes positif yang dikesan di Kluster Jalan Khidmat yang membabitkan pelajar dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu.

"Kes harian di Sabah meningkat kepada 172 hari ini dengan Kota Kinabalu menyumbang 82 kes yang mana 72 kes adalah daripada Kluster Khidmat (sekolah berasrama). Sekolah itu kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Secara keseluruhan, katanya sebanyak 90 kes atau 52.3 peratus daripada jumlah kes baharu Covid-19 hari ini adalah berpunca daripada kluster sedia ada, diikuti 53 kes (30.8 peratus) menerusi saringan kontak rapat dan 14 kes menerusi saringan bergejala.

Katanya, seramai 70 sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini, manakala seramai 1,019 orang masih dirawat termasuk 80 orang dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 18 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan PKPD di tiga taman perumahan di Lahad Datu bermula esok hingga 5 Mei depan.

Katanya, ia susulan kes tinggi direkodkan di ketiga-tiga lokaliti iaitu Taman Aman 3 (24 kes), Taman Aman Jaya (10 kes) dan Taman Palm Height (11 kes).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melaporkan masih berlaku penularan kes dalam kalangan penghuni taman terbabit dan kebanyakan kes membabitkan jangkitan serumah.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan negeri bersetuju melaksanakan PKPD di tiga taman perumahan berkenaan berkuat kuasa esok hingga 5 Mei depan selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 8:33 PM