Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu. FOTO MALAI ROSMAH TUAH
Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu. FOTO MALAI ROSMAH TUAH
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Belum ada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Tawau atau Lahad Datu walaupun daerah terbabit terus mencatat peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob berkata, hanya kawasan yang dikenal pasti berlaku penularan kes Covid-19 iaitu di Penjara Tawau dan lokap Ibu Pejabat Polis Lahad Datu dilaksanakan PKP Bersasar (PKPB).

"Kalau di Tawau membabitkan penjara dan kita tutup penjara. Dari depoh tahanan itu kita nampak banyak sebab kita buat saringan keseluruhan jadi keputusan itu akan keluar setiap hari.

"Itu yang kita nampak setiap hari dan mana-mana yang positif kita akan terus hantar ke pusat rawatan. Sekarang kita kenal pasti juga kontak rapat mereka dan buat saringan dari lokaliti atau kampung mereka," katanya ketika sidang media pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, lokaliti kontak terbabit masih dipantau dan jika didapati meruncing tindakan akan diambil seperti dalam kes kluster Sivagangga, di Kedah.

"Kita tutup lima kampung di Kedah sekarang tapi kita tidak tutup kawasan lain kerana tidak adil bagi kawasan lain. Kita isytihar merah baru kita tutup berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan," katanya.

Mengenai sekatan jalan raya yang dilaksanakan anggota polis di beberapa lokasi sekitar Tawau dan Lahad Datu, beliau berkata ia adalah perkara biasa dan tiada kaitan dengan PKP.

"Polis buat sekatan jalan raya itu perkara biasa melalui Ops Penawar dan ia dijalankan berterusan dengan fokus di Lahad Datu dan Tawau," katanya.

Katanya, adalah tidak adil untuk melaksanakan PKP di seluruh Sabah sedangkan kes Covid-19 hanya dikesan meningkat di Tawau dan Lahad Datu.

Beliau berkata, jika kedua-dua daerah itu ditutup, ia juga tidak adil kerana bukan semua kampung mencatat kes Covid-19.

Pantai Timur Sabah ketika ini mempunyai kluster Selamat, Pulau, Laut dan Benteng dengan 340 kes pesakit Covid-19 masih menerima rawatan di Tawau, selain 143 di Lahad Datu dan 14 kes di Kunak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 4:47 PM