PENDUDUK sekitar mengambil bekalan air di Pusat Khidmat Setempat, Dewan MBS, Seksyen 27, Shah Alam, hari ini. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
PENDUDUK sekitar mengambil bekalan air di Pusat Khidmat Setempat, Dewan MBS, Seksyen 27, Shah Alam, hari ini. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Lapan daripada 31 kawasan mengalami gangguan bekalan air berjadual sudah mencapai tahap pemulihan sepenuhnya sehingga 6 petang hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, 73 peratus akaun pengguna terjejas sudah menerima bekalan air di tiga wilayah iaitu Petaling, Klang dan Shah Alam.

"Setakat ini, wilayah Petaling sudah pulih 100 peratus, namun Wilayah Klang mencapai 21 peratus manakala Wilayah Shah Alam masih berada pada tahap 0 peratus.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Elina berkata, Air Selangor berharap pengguna yang sudah mendapat bekalan air menggunakan air secara berhemah.

Beliau berkata, tindakan itu bagi memastikan proses pemulihan di kawasan masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk laman sesawang www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300," katanya.

Semalam, gangguan bekalan air berjadual di wilayah Petaling, Klang dan Shah Alam berikutan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 9:45 PM