PENDUDUK sekitar Paya Jaras mengambil bekalan air dari lori Air Selangor berikutan gangguan bekalan air. FOTO Khairul Azhar Ahmad.
PENDUDUK sekitar Paya Jaras mengambil bekalan air dari lori Air Selangor berikutan gangguan bekalan air. FOTO Khairul Azhar Ahmad.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 281 kawasan sudah menerima bekalan air dan pulih sepenuhnya sehingga 9.30 malam tadi manakala 1,011 kawasan masih dalam proses pemulihan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, secara keseluruhan, 21.75 peratus daripada 1,292 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air yang berjadual itu sudah pulih sepenuhnya.

"Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah Kuala Selangor 91.70 peratus; Hulu Selangor (35.29 peratus; Petaling (10.2 peratus); Gombak (0.36 peratus) manakala Petaling; Klang/Shah Alam serta Kuala Langat masih di kosong peratus.

"Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang sudah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Menurutnya, Air Selangor memberi jaminan bahawa kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dalam pada itu, Air Selangor amat menghargai sokongan dan bantuan lori tangki daripada operator air negeri serta agensi lain iaitu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS); Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB); Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Lembaga Air Perak (LAP), Syarikat Air Terengganu (SATU), Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd ( SAJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu mengagihkan air.

"Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada para pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 11:36 PM