Dua individu yang dicari polis bagi membantu siasatan kes penjualan dan pindah milik tanah berjumlah RM24 juta dan RM3 juta. Foto Ihsan Polis
Dua individu yang dicari polis bagi membantu siasatan kes penjualan dan pindah milik tanah berjumlah RM24 juta dan RM3 juta. Foto Ihsan Polis
Mohd Amin Jalil


Seremban: Polis mengesan dua lelaki bagi membantu menyelesaikan dua kes membabitkan penjualan dan pindah milik tanah berjumlah RM24 juta dan RM3 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, kes pertama membabitkan tanah di Bandar Seremban 3 seluas 7.024 hektar.

Beliau berkata, tanah itu dipindah milik kepada individu lain iaitu individu dikehendaki bagi membantu siasatan, Tay Hock Seng, 54, yang beralamat di Sungai Bakap, Kedah.

"Pada 16 Julai lalu, penolong pengurus besar syarikat hartanah di Kuala Lumpur membuat laporan di Balai Polis Jalan Campbell, Seremban susulan hasil semakan pada 14 Jun mendapati tanah milik syarikat itu di Bandar Seremban 3 dipindah milik kepada individu tidak dikenali.

"Pengadu berusia 51 tahun itu membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Seremban dan mendapati tanah terbabit dipindah milik melalui Borang 14 A yang dibuat pada 14 Januari lalu dengan bayaran RM1.8 juta.

"Semakan tanda tangan dua pengarah syarikat yang terdapat di dalam borang berkenaan disyaki dipalsukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aibee berkata, penolong pengurus besar syarikat hartanah berkenaan membuat semakan terhadap firma guaman yang menguruskan penjualan serta pindah nama itu, namun didapati pejabat peguam itu tidak wujud.

Beliau berkata, susulan itu, syarikat hartanah itu mengalami kerugian sekitar RM24 juta mengikut nilai semasa tanah.

"Bagi kes kedua, seorang lelaki dikenali Lee Chee Boon, 41, beralamat di Pulau Pinang diperlukan bagi membantu polis membabitkan kes penjualan dan pindah milik dua tanah milik syarikat swasta lain di Mukim Linggi Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Pengarah syarikat berusia 50 tahun membuat laporan di Balai Polis Port Dickson pada 2 Jun lalu selepas mengetahui dua bidang tanah syarikat berkeluasan lapan hektar dijual suspek yang merupakan bekas pengarah syarikat kepada satu individu tidak dikenali.

"Semakan dibuat pekerja syarikat berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Seremban dan mendapati tanah itu dijual dan dipindah milik melalui Borang 14 A bertarikh 22 Disember 2016," katanya.

Aibee berkata, kedua-dua suspek didapati meletakkan jawatan pada 12 Januari 2016 dan tidak mempunyai kuasa mewakili syarikat untuk menjual tanah terbabit.

Beliau berkata, susulan kes itu, mangsa mengalami kerugian RM3 juta akibat daripada penjualan tanah berkenaan.

Menurutnya, dua individu berkenaan diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lelaki berkenaan boleh menyalurkannya kepada Asisten Superintendan Rosmaliah Khalit di talian 013-9443968 atau 06-7682222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 4:24 PM