GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Seorang doktor pelatih perubatan kerugian RM287,360 selepas dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam dalam kejadian di sebuah hospital kerajaan, dekat sini, pada 6 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata, lelaki berusia 25 tahun itu menerima panggilan daripada individu lelaki mengaku sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,000.

Katanya, talian disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan dimaklumkan mangsa terbabit dengan kes jenayah membabitkan pengubahan wang haram dan dadah serta diminta untuk berhubung terus dengan pegawai polis menerusi nombor talian 014-7410051.

"Mangsa kemudiannya menerima panggilan kedua daripada suspek pada 8 Februari memaklumkan akan membantunya menyelesaikan kesemua kes tersebut dan memberi nombor talian 014-7410596 kepada mangsa.

"Dua hari kemudian, mangsa sekali lagi menerima panggilan memintanya menyerahkan semua maklumat perbankan internet kepada suspek dan memuat turun aplikasi Bank Negara menerusi pautan diberi selain diminta membuat pinjaman peribadi sebanyak RM200,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aibee berkata terbaharu, pada 9 Mac lalu, mangsa menerima penyata bank Standard Chartered dan mendapati terdapat transaksi pindahan wang daripada akaunnya berjumlah RM94,560 kepada beberapa akaun lain.

Doktor pelatih itu kemudiannya turut membuat semakan pada akaun Bank Rakyat pada hari yang sama dan mendapati berlaku transaksi keluar berjumlah RM192,800 juga kepada beberapa akaun lain, jelasnya.

Aibee berkata, mangsa tampil membuat laporan semalam sebaik menyedari ditipu selepas pemeriksaan semakan penyata akaunnya di bank berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 3:19 PM