TIGA Suspek yang dipercayai menjadi ejen Macau Scam mempedayakan mangsa. FOTO Ihsan PDRM
TIGA Suspek yang dipercayai menjadi ejen Macau Scam mempedayakan mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Amin Jalil


SEORANG ahli perniagaan di Seremban kerugian RM802,800 dipercayai ditipu ejen 'Macau Scam' membabitkan tiga individu termasuk menyamar sebagai anggota polis menerusi panggilan telefon.

Wanita berusia 61 tahun itu dikatakan ketakutan selepas dia didakwa mempunyai satu kes membabitkan aktiviti penjualan dadah dan penggubahan wang haram yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, berdasarkan laporan mangsa, kejadian berlaku pada 2.05 petang 4 April lalu.

Beliau berkata, mangsa ketika itu berada di pejabatnya sebelum menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali iaitu 03-22671122 dan mendakwa dari Pos Laju.

"Panggilan itu mengatakan terdapat individu menghantar Kad Pengenalan (MyKad) dan kad kredit pengadu dari Sabah sedangkan pengadu tidak pernah memberi kad berkenaan kepada mana-mana pihak.

"Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada IPK Sabah dan pengadu bercakap dengan seorang individu sebagai Sarjan Yeow Khee Ming, yang menyatakan pengadu mempunyai kes penjualan dadah serta penggubahan wang haram dan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup," katanya.

Aibee berkata, Sarjan Yeow kemudian mengarahkan mangsa membuka satu akaun Bank Rakyat atas namanya dan meminta memasukkan wang dari akaun lain ke dalam akaun berkenaan dengan alasan untuk memastikan wang terbabit bebas daripada sebarang hasil jenayah.

Beliau berkata, selepas akaun itu dibuka, mangsa menyertakan gambar kad pengeluaran wang automatik (ATM) rserta nombor akaun terbabit kepada Inspektor Ku dari IPK sama di talian 016-5617441.

"Susulan itu, mangsa membuat tujuh kali pembayaran wang melalui beberapa bank berasingan bermula pada 8 April lalu, dengan pembayaran pertama RM245,600 dan kedua RM107,300 ke dalam akaun Bank Rakyat di Bank Rakyat dan Maybank Seremban.

"Pembayaran ketiga dan keempat dibuat pada 14 April ke akaun sama sebanyak RM258,600 dan pada 20 April, melalui cek bernombor berjumlah RM108,600.

"Berikutnya pembayaran kelima dibuat secara tunai pada 27 April menerusi Ambank Seremban berjumlah RM22,700 dan pada 29 April, mangsa ke Public Bank Seremban untuk membuat dua kali pembayaran secara rentas ke atas akaun sama berjumlah keseluruhan RM60,000," katanya.

Aibee berkata, jumlah keseluruhan pembayaran dibuat mangsa ke dalam akuan itu berjumlah RM802,800.

Beliau berkata, mangsa kemudian terasa ditipu selepas suspek tidak dapat dihubungi dan membuat laporan polis.

"Tiga individu dipercayai suspek iaitu Khor Kean Hock, 66, beralamat No 93, Kampung Baiduri Sek 51A atau No 17-15 Blok D Impian Baiduri Jalan 224/51A, 46100 Petaling Jaya, Selangor.

"Selain itu, Jenny Sophia, 21, beralamat Kampung Pelapi, 00000 Sibuti Sarawak dan Siti Nur Syahadah, 28, beralamat D-7-15, PPR Beringin, Jalan Miri Off Taman Jinjang Utara 52000 Kepong atau No 21 Jalan Kemboja 4C/10, 48300 Rawang Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 4:16 PM