GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Hasrat seorang ahli perniagaan untuk membeli bijih besi tidak kesampaian, malah kerugian RM250,000 selepas diperdaya seorang lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 53 tahun itu, pada mulanya ditawarkan membeli bijih besi berkenaan oleh seorang lelaki yang dikenali pada pertengahan 2013.

"Bijih besi berkenaan kononnya berada di Dungun, Terengganu. Mangsa yang percaya kemudian membuat pembayaran sebanyak RM250,000 kepada suspek.

"Walaupun sudah menyelesaikan semua pembayaran mengikut perjanjian, mangsa belum menerima bijih besi berkenaan.

"Mangsa juga mendapati bijih besi berkenaan tidak wujud malah perjanjian juga tidak ditepati oleh suspek," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, sehingga kini mangsa belum memperoleh semula wang miliknya.

Katanya, mangsa juga gagal menghubungi suspek sebelum membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah menawarkan jualan tanah bijih besi yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang.

"Kita sudah merakam percakapan mangsa dan sedang memburu suspek. Polis juga membuat semakan mengenai kesahihan perjanjian yang dibuat antara mangsa dan suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 10:25 AM