Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib


Raub: Hasrat seorang pengurus bank di sini mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM250,000 tidak kesampaian malah terpaksa menanggung kerugian RM32,970 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Pada Isnin lalu, mangsa melihat iklan pinjaman wang daripada sebuah syarikat dan mengisi maklumat peribadi seperti nombor telefon untuk dihubungi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada hari yang sama mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp yang perkenalkan diri sebagai Kelvin.

"Suspek meminta mangsa memberikan nombor kad pengenalan dan slip gaji. Pada hari yang sama Kelvin memberitahu bahawa permohonan pinjaman mangsa sebanyak RM250,000 diluluskan.

"Suspek juga meminta mangsa membayar yuran sebanyak RM1,250. Kelmarin mangsa memasukkan wang secara pindahan dalam talian ke dalam akaun yang diberikan oleh Kelvin," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari.

Beliau berkata, selepas itu mangsa diminta lagi untuk memasukkan wang atas pelbagai alasan dan memindahkan wang sebanyak enam transaksi ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM32,970.

"Semalam mangsa cuba menghubungi Kelvin untuk bertanyakan mengenai pinjamannya namun suspek gagal dihubungi.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di sini, semalam," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 11:19 AM