ANGGOTA bomba membawa mayat lelaki yang lemas selepas terjun ke Sungai Golok di Kampung Naga Ibu. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba membawa mayat lelaki yang lemas selepas terjun ke Sungai Golok di Kampung Naga Ibu. FOTO ihsan bomba
Siti Rohana Idris


Tumpat: Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada pihak berkuasa menerima padah apabila dia ditemukan lemas di Sungai Golok di Kampung Naga Ibu, di sini, petang tadi.

Mayat lelaki berusia 51 tahun yang berasal dari Gua Musang itu ditemui anggota bomba pada 5.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, sebelum kejadian, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ternampak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan pada 3 petang.

Beliau berkata, anggota seterusnya menghampiri dua lelaki itu dan memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis sebelum kedua-duanya bertindak melarikan diri.

"Mangsa terus terjun ke dalam sungai manakala seorang lagi melarikan diri ke arah kawasan semak dan kedua-duanya gagal ditangkap.

"Pemerhatian dibuat selama 20 minit mendapati lelaki yang terjun ke dalam sungai sudah tenggelam dan gagal dikesan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, misi pencarian dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor dan sebaik ditemui, mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua BBP Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.09 petang.

"Seramai 11 anggota termasuk empat dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Mangsa ditemui pada jarak 150 meter dari lokasi jatuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 10:29 PM