ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemukan lemas di tali air di Kampung Simpangan. FOTO ihsan polis
ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemukan lemas di tali air di Kampung Simpangan. FOTO ihsan polis
Siti Rohana Idris


Tumpat: Lelaki kemurungan ditemukan lemas di tali air di Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor di sini, petang semalam.

Mangsa berusia 26 tahun disedari hilang di rumah bapa saudaranya di kampung itu pada jam 10 pagi semalam sebelum sepasang seliparnya ditemui di tebing tali air.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Paya Ular, Bunut Susu, Pasir Mas datang ke rumah bapa saudaranya itu untuk berubat.

"Kira-kira jam 10 pagi, bapa saudara mangsa mendapati lelaki itu tiada di rumah dan usaha mencarinya segera dijalankan.

"Dua jam selepas itu, selipar milik mangsa ditemui di tepi tali air sebelum pihak bomba dihubungi. Mayat ditemukan di dasar tali air," katanya.

Ab Rashid berkata, mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Raja Arisansahseni Raja Semail berkata, seramai tujuh anggota terbabit dalam operasi mencari termasuk empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan tanpa teknik menyelam kerana paras air yang tidak dalam iaitu hampir dua meter.

"Mangsa ditemui pada jam 3.10 petang di dasar tali air selepas 10 minit operasi mencari dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 5:06 PM