Pasukan HAZMAT menurunkan jenazah ke liang lahad. FOTO IHSAN BOMBA
Pasukan HAZMAT menurunkan jenazah ke liang lahad. FOTO IHSAN BOMBA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Anggota bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menurunkan jenazah seorang lelaki obesiti ketika pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Mandol di sini, pada awal pagi hari ini.

Lelaki berkenaan yang juga mangsa Covid-19 berusia 29 tahun dengan berat 260 kilogram (kg) meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail berkata, pihaknya dihubungi Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat yang meminta bantuan untuk menguruskan pengebumian jenazah terbabit.

"Lebih 20 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu termasuk 12 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Kota Bharu bergegas ke Unit Forensik HRPZ II.

"Pada 1.30 pagi, jenazah lelaki itu tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Mandol untuk proses pengebumiannya.

"Sama seperti pengurusan jenazah penghidap obesiti sebelum ini, anggota menggunakan tali untuk menurunkan jenazah dan proses pengebumiannya selesai pada 2.30 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, sudah tujuh jenazah mangsa Covid-19 sudah diuruskan di daerah itu untuk tahun ini.

Menurutnya lagi, tugasan itu termasuk dalam skop tugas khas dan jika tidak membabitkan mangsa obesiti, anggotanya hanya bersedia di tanah perkuburan untuk proses pengebumian.

"Dari segi keselamatan, selain menggunakan pakaian perlindungan diri (PPE), kenderaan yang digunakan juga akan disanitasi sebelum dan selepas digunakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 1:12 PM