PENDUDUK Kampung Chennah bergambar disamping Jalur Gemilang yang dibuat daripada buluh. FOTO Abnor Hamizam
PENDUDUK Kampung Chennah bergambar disamping Jalur Gemilang yang dibuat daripada buluh. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


KEUNIKKAN Jalur Gemilang di Kampung Chennah di Jelebu yang dibuat menggunakan buluh menarik perhatian ramai.

Dibina bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, ia dibuat secara bergotong royong oleh penduduk kampung.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Rosmadi Arif berkata sebanyak 200 batang buluh digunakan bagi menyiapkan Jalur Gemilang berkenaan.

Menurutnya, proses membuat bendera itu mengambil masa dua bulan untuk disiapkan dan pihaknya lega apabila ia berjaya disiapkan sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-63.

"Disebabkan terikat dengan pekerjaan hakiki, kebanyakan aktiviti gotong-royong dibuat pada sebelah petang dan pada hari cuti sahaja.

"Namun komitmen dan kegigihan penduduk, Jalur Gemilang buluh itu dapat disiapkan sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan," katanya.

Rosmadi berkata Jalur Gemilang buluh berkenaan berukur 3 meter tinggi dan 24 meter panjang, menggunakan 10 tin cat dengan peruntukan daripada Yayasan Budi.

"Sejak ia dipasang hadapan jalan utama kampung berkenaan, ia menjadi tarikan kepada pengunjung yang mengambil kesempatan untuk bergambar.

"Selain membina Jalur Gemilang daripada buluh, kita turut menghias bulatan di jalan kampung ini dan Dataran Budaya dengan bendera selain penduduk kampung sendiri memasang Jalur Gemilang. Ia bagi menunjukkan semangat cinta kepada negara,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 4:42 PM