PERKHIDMATAN bot pelancongan, Melaka River Cruise dihentikan sementara waktu berikutan paras air tinggi dan arus deras Ketika tinjauan di Sungai Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
PERKHIDMATAN bot pelancongan, Melaka River Cruise dihentikan sementara waktu berikutan paras air tinggi dan arus deras Ketika tinjauan di Sungai Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
Nurul Fhatihah Zakinan


PERKHIDMATAN bot pelancongan, Melaka River Cruise di Sungai Melaka, Melaka, dihentikan sementara waktu berikutan paras air tinggi dan arus deras di sungai itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, langkah dibuat kira-kira 2 petang semalam itu adalah untuk memastikan keselamatan penumpang dan pemandu bot terjamin.

Beliau berkata, kejadian banjir di Alor Gajah sejak beberapa hari lalu menyebabkan air turun ke kawasan bandar Melaka dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri turut memaklumkan Empangan Batu Hampar perlu dibuka bagi mengalirkan lebihan takungan air masuk ke baraj di muara sungai.

“Paras ketinggian air Sungai Melaka mencecah kira-kira 1.4 meter iaitu melepasi paras normal 1.2 meter selepas empangan dibuka, sekali gus menyebabkan arus sungai lebih deras.

“Keadaan ini turut menyebabkan bot Melaka River Cruise tidak dapat melepasi satu daripada lapan jambatan di sepanjang sungai,” katanya selepas mengadakan lawatan di pintu baraj air Sungai Melaka bersama pihak JPS, di Melaka, hari ini.

Difahamkan, perkhidmatan bot berkenaan dijangka beroperasi semula pada 8 malam ini bergantung keadaan situasi, cuaca dan paras air sungai kembali seperti sedia kala.

Yang turut hadir, Pengarah JPS negeri, Abd Hakim Hamzah.

Sementara itu, Abd Hakim berkata, hujan lebat di kawasan Tampin, Negeri Sembilan dan Sungai Batang Melaka menyebabkan banjir sehingga air terpaksa melalui Sungai Melaka hingga ke muara.

“Sepanjang Sungai Melaka, kita membuka empat pintu baraj air iaitu Durian Tunggal, Malim, Batu Hampar dan Klebang bagi memastikan kelancaran aliran air ke muara sungai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 2:34 PM