Batalion 4 PGA menahan dua lelaki warga Indonesia yang juga penduduk pemastautin tetap dan 28 Pati di persisiran Pantai Sungai Apong, semalam. FOTO IHSAN PGA
Batalion 4 PGA menahan dua lelaki warga Indonesia yang juga penduduk pemastautin tetap dan 28 Pati di persisiran Pantai Sungai Apong, semalam. FOTO IHSAN PGA
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai menguruskan kemasukan warga senegara ke Malaysia ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di persisiran Pantai Sungai Apong, di sini, semalam.

Turut ditahan 14 lelaki berusia antara 25 hingga 43 tahun dan 14 perempuan berusia 20 hingga 53 tahun yang kesemuanya pendatang asing tanpa izin (Pati).

Kesemua mereka ditahan menerusi Op Benteng Covid-19.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, siasatan mendapati dua lelaki warga Indonesia berusia 50 dan 59 tahun itu adalah pemastautin tetap dipercayai berperanan sebagai tekong darat.

"Semua warga Indonesia itu masuk ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan (jalan laut) menggunakan bot 'pom pom' yang kemudian dilepaskan ke pesisir pantai.

"Sementara, dua lelaki (penduduk pemastautin tetap) dipercayai berperanan sebagai 'transporter'," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan pelbagai guna (MPV), dengan nilai rampasan dianggarkan RM35,000.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Sungai Air Tawar untuk tindakan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.

Beliau menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang terutama kes jenayah serta penyeludupan manusia dan bahan terlarang kepada pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 9:01 PM