SHAFULLIZAN (tengah) mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
SHAFULLIZAN (tengah) mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


BEKAS penolong akauntan Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Sarawak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Petrajaya, hari ini, atas tiga pertuduhan kes pecah amanah yang dilakukannya empat tahun lalu.

Tertuduh, Shafullizan Abdul Mutalib, 48, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marutin Pagan.

Marutin kemudian menetapkan 3 September ini untuk pendengaran semula kes bagi menetapkan hukuman.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan mengarahkannya ditahan reman di Penjara Puncak Borneo sehingga serahan fakta kes pada 3 September ini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kelihatan tenang dan mengangguk ketika mendengar keputusan itu.

Mengikut fakta kes, Shaifullizan dituduh melakukan penipuan dalam mengeluarkan tiga baucar pembayaran membabitkan kerugian berjumlah RM249,101.25.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kapasitinya untuk mengeluarkan baucar bernilai RM97,623.31 pada 4 April 2012 manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengeluarkan baucar bernilai RM85,000 pada 22 Jun 2012.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengeluarkan baucar pada 16 November 2012 bernilai RM66,477.94.

Semua kesalahan itu dilakukan di Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Sarawak di Wisma Hong, Tingkat 1, Batu 2, Jalan Rock, Kuching.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda.

Shaifullizan yang diburu berikutan satu laporan polis berhubung artikel dalam portal berita The Sun, United Kingdom bertajuk 'ORGANS FOR SALE' Kidney trafficker brags to The Sun about luring poor victims into selling organs to desperate Brits on Facebook for £85k' ditahan pada 13 Ogos lalu.

Dia direman selama tujuh hari pada kali pertama dan disambung reman selama lima hari sehingga semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Bagaimanapun selepas siasatan terperinci selama 12 hari, polis mendapati tiada sebarang keterangan ditemui menunjukkan suspek terbabit dalam kegiatan itu.

Berikutan itu, pengakuannya kepada wartawan portal The Sun bahawa dia terbabit dalam aktiviti membeli dan menjual organ manusia adalah palsu.

Selepas tiada bukti untuk mendakwanya dalam aktiviti penjualan organ manusia, Shaifullizan ditahan semula pada jam 11 pagi semalam untuk siasatan kes pecah amanah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 4:26 PM