NASARUDIN memberi nasihat kepada Santharasekaran. FOTO Rosman Shamsudin
NASARUDIN memberi nasihat kepada Santharasekaran. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


"BOLEH berbeza pendapat atau pegangan politik tetapi jangan sekali memutuskan silaturrahim." Itu nasihat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasarudin Hashim, 70, kepada calon Bebas, S Santharasekaran, 44, ketika bertemu di sebuah restoran di Slim River, hari ini.

Beliau yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur singgah makan di restoran terbabit sebelum terserempak dengan Santharasekaran yang kebetulan singgah berehat di situ.

Nasarudin berkata, amalkan gaya politik yang matang dan jangan sesekali sentuh hal peribadi jika mahu masa depan politik terjamin.

Katanya, apabila masuk bidang politik, niat mestilah mahu membantu masyarakat bukannya mencari musuh, barulah mampu bertahan lama.

"Di samping itu, bila jadi ahli politik dan masuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya maka kita mesti mempunyai daya ketahanan mental dan fizikal yang kuat untuk mengharungi pelbagai onak dan duri.

"Politik di Malaysia ini pelik sikit, bila kita dapat sesuatu jawatan atau masuk dalam bidang politik lalu memegang jawatan, kadangkala segelintir rakan kita pun akan mula menjauhkan diri daripada kita," katanya ketika berkongsi pengalaman kepada calon Bebas dan bekas guru itu.

Nasarudin yang juga bekas Ahli Parlimen Parit berkata, beliau gembira dapat berjumpa salah seorang calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim kerana sebelum ini beliau hanya mengetahui melalui media massa saja.

Sementara itu, Santharasekaran berkata, beliau menerima nasihat daripada Nasarudin sebagai bekalan mengharungi baki kempen dalam PRK ini.

"Saya amat teruja dapat mendengar pengalaman dan nasihat diberikan bekas ahli politik dan boleh dijadikan panduan kepada saya yang baru menceburkan diri dalam bidang ini.

"Saya gembira dengan sikap terbuka dan ramah yang ditunjukkan oleh Datuk Nasarudin. Walaupun pertama kali berjumpa beliau yang tidak lokek berkongsi ilmu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 6:51 PM