Santharasekaran (kiri) menjelajah kawasan DUN Slim untuk meraih undi. FOTO ihsan S Santharasekaran
Santharasekaran (kiri) menjelajah kawasan DUN Slim untuk meraih undi. FOTO ihsan S Santharasekaran
Rosman Shamsudin


WALAUPUN sudah bersara awal dan kini menceburi bidang politik, namun calon Bebas, S Santharasekaran, 44, tetap dipanggil cikgu ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang berbaki dua hari lagi.

Santharasekaran berkata, beliau amat senang dan berbangga dipanggil atau disapa dengan panggilan nama Cikgu Segar kerana itulah profesion yang banyak mendedahkan beliau dengan masyarakat.

"Gelaran cikgu adalah sungguh mulia kerana melalui usaha cikgulah berjaya melahirkan seorang Perdana Menteri hari ini, doktor, peguam, jurutera dan sebagainya.

"Sebab itu, ketika berkempen bertemu pengundi apabila disapa atau dipanggil cikgu membuatkan saya sungguh berbangga dan terasa dekat sangat dengan masyarakat setempat," katanya.

Katanya, sebagai bekas guru serba boleh menyebabkan beliau tidak mempunyai masalah ketika berhadapan, apatah lagi berkomunikasi dengan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama tanpa mengira usia.

"Itulah hikmah menjadi seorang guru, kerana kita sedia maklum di sekolah , gurulah adalah segalanya kerana selain mengajar dan mendidik pelajar, guru juga adalah tukang kebun, kerani, doktor, tukang cuci, tukang rumah dan sebagainya.

"Jadi tidak mustahil jika hari ini, guru juga menjadi ahli politik yang serba boleh dalam membangun dan memajukan masyarakat dengan mengaplikasikan pengalaman dan pengetahuan sedia ada," katanya.

Beliau yang juga sebelum ini sering mengharumkan nama negara dalam bidang reka cipta dan inovasi sehingga peringkat antarabangsa berkata, jika ditakdirkan menang dalam PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini, walaupun bergelar Yang Berhormat (YB) , beliau tetap mahu dipanggil dengan panggilan cikgu.

"Itulah gelaran atau nama yang mahu saya kekalkan, walaupun sudah bergelar YB nanti kerana nama itu begitu sinonim dan sebati dalam hidup saya.

"Sekarang baru 12 hari saya melangkah keluar meninggalkan profesion perguruan, memang tidak dinafikan sesekali terasa rindu mendengar suara dan gelak tawa anak murid, namun apa boleh buat untuk mencapai atau mendapat sesuatu yang kita impikan maka ia memerlukan pengorbanan" katanya.

Katanya, dengan berbaki dua hari lagi tempoh berkempen , beliau akan terus melipatgandakan usaha untuk bertemu dengan semua pengundi di DUN Slim ini supaya beliau iaitu calon yang menggunakan simbol Buku mendapat mandat menjadi wakil rakyat.

PRK DUN Slim akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu S. Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 11:06 AM