Foto hiasan
Foto hiasan
Noor Hidayah Tanzizi

SERAMAI 267 pegawai dan anggota polis akan mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Slim River esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata, pusat pengundian awal akan dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Menurutnya, sepanjang proses itu, pematuhan garis panduan pencegahan Covid-19 seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan sanitasi tangan dan saringan suhu badan akan dilaksanakan.

"Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR.

"SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara 'live streaming' menerusi Facebook SPR," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di bilik menunggu di Majlis Daerah Tanjung Malim.

"SPR berharap para pengundi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka," katanya.

PRK DUN Slim yang dijadual pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Amir Khusyairi mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 10:31 AM