ABDUL Ghani meninjau proses pengundian pada PRK Dun Slim di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki hari ini. FOTO Bernama
ABDUL Ghani meninjau proses pengundian pada PRK Dun Slim di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata salah faham mungkin punca beberapa pengundi berseluar pendek tidak dibenar memasuki pusat pembuangan undi hari ini.

Ini kerana kata beliau, berseluar pendek bukan satu kesalahan menurut peraturan SPR, sebaliknya larangan hanya terpakai kepada mereka yang berpakaian tidak sopan atau mencolok mata.

"… berseluar pendek ini pada saya masih kita benarkan. Kita harap mereka ini datang balik mengundi, jangan merajuk. Dari segi peraturan tiada masalah, mungkin ada tersalah dari segi pelaksanaan," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki di Tanjung Malim, hari ini.

Beliau mengulas satu insiden di sekolah itu pagi tadi apabila beberapa pengundi yang hadir berseluar pendek tidak dibenar memasuki pusat pengundian dan sesetengahnya pula dilihat mengoyakkan kad pengundi yang diberikan SPR kerana marah.

Bernama difahamkan beberapa pengundi itu yang kembali ke pusat pengundian selepas dipujuk oleh ejen parti dibenarkan mengundi manakala yang lain pula datang semula dengan berseluar panjang.

Sementara itu, Abdul Ghani menasihati pengundi yang belum menunaikan tanggungjawab agar datang bersendirian susulan ada segelintir yang turut membawa ahli keluarga.

Menurutnya, tindakan itu hanya menyumbang kepada kesesakan di pusat pembuangan undi sedangkan negara masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, SPR berharap dapat mencapai sasaran 85 peratus pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim itu.

Setakat 1 tengah hari tadi, kira-kira 41 peratus daripada 22,749 pengundi biasa menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau turut menyeru pemilih muda keluar mengundi berikutan pemerhatiannya mendapati saluran lima dan enam yang diperuntukkan untuk golongan itu agak lengang.

PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 3:13 PM