MOHD Zaidi meninjau proses pembuangan undi awal  di IPD Mualim. FOTO Hazreen Mohamad
MOHD Zaidi meninjau proses pembuangan undi awal di IPD Mualim. FOTO Hazreen Mohamad
Noor Hidayah Tanzizi


PROSES pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim membabitkan 267 pegawai dan anggota polis yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dekat Slim River, hari ini berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, proses pengundian awal berada dalam keadaan aman dan terkawal.

Menurutnya, pihaknya sudah menasihatkan anggota supaya tidak datang serentak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan Covid-19.

"Kita tidak mahu semua datang serentak supaya tidak berlaku kesesakan dan dapat mengamalkan norma baharu dan penjarakan fizikal.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pembuangan undi berlangsung sehingga 5.30 petang, jadi saya menyeru kepada semua pegawai dan anggota yang layak mengundi hadir menunaikan tanggungjawab mereka.

"Mereka juga diingatkan supaya menjaga tatasusila supaya tidak mencemar nama baik dan mencalar imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain tiada berlaku sebarang kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Laman Twitter SPR memaklumkan statistik keluar mengundi awal mencatat 49 peratus setakat 11 pagi.

PRK Dun Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 12:52 PM